Friday, September 13, 2013

Tubuh pasukan khas pantau syarikat MLM


JOHOR BAHRU – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) disaran menubuhkan pasukan khas bagi memantau syarikat yang menjalankan perniagaan pemasaran bertingkat (MLM) dan peniaga dalam talian yang beroperasi di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, pasukan khas itu bertujuan memastikan usahawan MLM dan peniaga dalam talian melaksanakan pembayaran cukai.

“LHDN patut mempunyai pasukan khas untuk pantau syarikat MLM dan perniagaan dalam talian sama ada mereka ada membayar cukai.

“Mereka perlu jalankan tanggungjawab membayar cukai seperti perniagaan berdaftar supaya sama-sama membantu kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Francais Komuniti Zon Selatan di Galleria@Kotaraya, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md Jais Sarday.

Hasan berkata, peniaga dan pengusaha perlu diberi pendedahan mengenai tanggungjawab masing-masing dalam melaksanakan pembayaran cukai bagi membantu meningkatkan pendapatan negara.

“Kita perlu pupuk tanggungjawab sosial korporat ini dalam kalangan peniaga supaya ada semangat saling menyokong dan membantu,” katanya.

Sementara itu, Hasan berkata, kerajaan mensasarkan pendapatan membabitkan industri francais dikutip sebanyak RM24.3 bilion tahun depan berbanding RM23.6 bilion tahun lalu.

“Sehingga Rabu lalu, sejumlah 676 syarikat francais yang terdiri daripada pelbagai sektor telah didaftar di negara ini.

“Industri ini telah memberi sumbangan besar pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara di mana sejumlah RM23.6 bilion berjaya dikutip melalui sektor ini tahun lalu,” katanya.

Katanya, kerajaan menyediakan Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF) dengan tawaran pembiayaan mikro sehingga RM50,000 bagi membantu usahawan tempatan menceburi industri francais.

“Kerajaan berhasrat menggalakkan lebih ramai masyarakat menceburi perniagaan francais untuk memperbaiki taraf hidup dan mengimbangi pendapatan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Ia juga dapat membantu syarikat francais mengembangkan perniagaan dengan memperkenalkan konsep modal lebih kecil,” katanya.

- Sumber

AABT6 tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. 

No comments:

Post a Comment