Di dalam sebuah hutan, tinggallah binatang-binatang yang
hidup bermuafakat di antara satu sama lain. Mereka saling tolong menolong dan
sentiasa hidup di dalam keadaan yang aman damai.
Pada suatu hari, tupai ingin mengadakan majlis harijadi di
rumahnya. Beberapa hari sebelum itu ia telah sibuk melakukan persiapan untuk
meraikan ulangtahunnya itu. Kad-kad jemputan juga telah diedarkan kepada
seluruh isi hutan. Lagipun si tupai itu sudah rindu untuk berjumpa dengan
rakan-rakannya untuk bertukar-tukar pendapat.
Bila tiba harinya, tupai kelihatan sibuk membersihkan
halaman rumahnya dan menyusun kerusi meja. Disapunya daun-daun kering yang
berselerakan di halaman rumahnya dan dibakar semua sampah sarap yang ada.
Setelah puas hati semuanya bersih si tupai berkata di dalam hatinya.
"Sekarang semuanya sudah bersih, dan sekarang aku akan menyiapkan hidangan
untuk para tetamu pula."
Dengan berhati-hati dibantu oleh keluarganya, tupai
mengeluarkan hidangan dan meletakkannya di atas meja. Bermacam-macam jenis kuih
telah disediakan. Tanpa disedari oleh tupai di dalam ia sibuk menghidangkan
makanan di halaman rumah, ada sepasang mata sedang mengintainya dari atas
pokok. Setiap kali tupai membawa makanan dari dapur, setiap kali itulah monyet
yang di atas pokok itu gelisah.
Sebenarnya monyet itu memang terkenal dengan sikapnya yang
tidak suka bergaul dan suka pula mencuri. Monyet menunggu peluang sehingga
tupai siap menghidang makanan. Apabila saja tupai masuk ke dalam rumahnya,
monyet cepat-cepat turun dari pokok tempat persembunyiannya. Kemudian dengan
cepatnya dia mencuri makanan yang ada di atas meja dan lari semula di belakang
pokok melihat bagaimanakah reaksi tupai seterusnya.
Namun si monyet itu tidak menyedari yang tupai sedang
melihatnya dari dalam rumah. "Oh si monyet rupanya yang mencuri makananku.
Nanti, tahulah aku bagaimana mengajar ia," kata tupai di dalam hati.
Dengan tidak membuang masa, tupai mengambil alat penyembur
dan menyembur makanannya satu persatu. Sambil bersiul-siul tupai, ia melirik
pandang ke arah tempat persembunyian monyet.
Monyet terkejut besar. "Apalah agaknya yang disemburkan
oleh tupai? Sudah tentu dia menyemburkan racun. Tentunya makanan aku sudah
dicampurkan dengan racun. Aku tidak bodoh. Aku tidak mahu mati kerana si
tupai," kata monyet tegas.
No comments:
Post a Comment