Nabi Muhammad S.A.W dilahirkan pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah di Makkah.
Bapa baginda, Abdullah bin Abdul Mutallib telah wafat sewaktu baginda 7 bulan
dalam kandungan ibunya, Aminah binti Wahab.
Ibu susuan baginda ialah
wanita dari Banu Sa'ad yang bernama Halimah bin Abi-Dhuaib. Ibu baginda
meninggal di Abwa ketika baginda berumur 6 tahun. Nabi Muhammad S.A.W dipelihara
oleh datuknya, Abdul Mutallib yang meninggal dunia sewaktu baginda berumur 8
tahun.
Kemudian baginda diasuh oleh bada saudaranya, Abu Talib. Mereka
berkunjung ke negeri Syam untuk berdagang sewaktu Nabi Muhammad S.A.W berusia 12
tahun dan bertemu dengan seorang rahib Kristian yang dapat melihat tanda-tanda
kenabian pada baginda.
Nabi Muhammad S.A.W diberikan gelaran al-Amiin di
atas sifat-sifat baginda yang terpuji. Ketika baginda mula meningkat dewasa,
baginda disuruh oleh bapa saudaranya untuk membawa barang-barang dagangan
Khadijah binti Khuwailid.
Baginda berkahwin dengan Khadijah binti
Khuwailid yang berumur 40 tahun sewaktu baginda berumur 25 tahun. Mereka
dikurniakan 7 orang putera dan puteri. Anakanda-anakanda Rasulullah S.A.W ialah
Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum, Siti Fatimah, Qasim, Abdullah dan Ibrahim.
Kesemua anakanda lelaki diwafatkan Allah SWT semasa kecil mereka.
Pada
usia 40 tahun, Nabi Muhammad S.A.W telah menerima wahyu yang pertama dan
diangkat sebagai nabi sekelian alam di gua Hira'. Khadijah, isteri baginda
adalah wanita pertama yang mempercayai kenabian baginda. Ali bin Abi Talib
adalah lelaki pertama yang beriman dengan ajaran baginda.
Baginda
berdakwah selama 3 tahun secara sembunyi sebelum turun wahyu memerintahkan
baginda untuk berdakwah secara terang-terangan.
Penduduk Quraisy
menentang keras ajaran yang dibawa oleh baginda. Baginda menghadapi pelbagai
tekanan, dugaan, penderitaan, cemuhan dan ejekan daripada penduduk-penduduk
Makkah yang jahil dan keras hati untuk beriman dengan Allah
Khadijah
serta Abu Talib wafat pada tahun ke-10 kenabiannya. Setelah sampai perintah
Allah, Rasulullah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah berikutan
ancaman daripada kafir Quraisy untuk membunuh baginda. Rasulullah disambut
dengan meriahnya oleh para penduduk Madinah. Seruan baginda diterima baik oleh
kebanyakan para penduduk Madinah. Sebuah negara Islam didirikan di bawah
pimpinan Rasulullas S.A.W sendiri.
Baginda telah wafat pada bulan Jun
tahun 632M bersamaan dengan 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah. Baginda wafat
setelah selesai melaksanakan tugasnya sebagai rasul dan pemimpin negara. Baginda
berjaya membawa manusia ke jalan yang benar dan menjadi seorang pemimpin yang
bertanggungjawab, berilmu dan berkebolehan.
Rasulullah S.A.W adalah
contoh terbaik bagi semua manusia sepanjang zaman.
No comments:
Post a Comment