Alkisah satu masa dahulu di dalam sebuah rimba yang permai
terdapat dua ekor burung yang bersahabat baik iaitu Sang Gagak dan Sang Merak.
Pada masa itu Sang Gagak dan Sang Merak tidak mempunyai warna pada bulu mereka
apatah lagi corak yang menarik
Disebutkan dalam kisah mereka, pada suatu hari sedang mereka
bersiar-siar di rimba itu, mereka terjumpa dengan beberapa tong cat yang
bermacam-macam warna. Lantas timbullah idea dalam diri Sang Gagak untuk
menggunakan cat tersebut untuk mewarnakan dirinya yang tidak berwarna berserta
sahabat baiknya.
Hal tersebut dipersetujui oleh Sang Merak yang juga mahukan
warna pada badannya. Dia mengemukakan cadangan untuk Sang Gagak melukis di
badannya dulu sebelum dia pula mewarnakan badan Sang Gagak.
Sang Gagak yang dikenali sebagai seekor binatang yang
kreatif dan berbakat mula melukis corak dan mewarnakan badan sang Merak.
Hasilnya Sang Merak kelihatan cantik dengan warna barunya. Sesudah itu tibalah
giliran Sang Merak untuk mewarnakan badan Sang Gagak.
Tetapi Sang Merak pula dikenali sebagai binatang yang tidak
mempunyai bakat dan amat pemalas. Tanpa mahu memikir panjang, Sang Merak terus
mengambil cat hitam dan dicampakkannya ke arah badan Sang Gagak. Hasilnya tubuh
Sang Gagak berwarna hitam legam keseluruhannya.
Sang Merak yang kaget dengan kejadian itu terus melarikan
diri. Setelah beberapa ketika Sang Gagak sudah tidak sabar untuk melihat
dirinya yang baru. Dia berjalan cepat-cepat ke arah sungai berdekatan dan
melihat dirinya pada riak air sungai tersebut.
Alangkah terkejutnya sang Gagak apabila melihat dirinya yang
berwarna hitam keseluruhannya dari atas hingga ke bawah. Dengan rasa marah yang
teramat sangat Sang Gagak terus mencari Sang Merak yang sudah lari jauh ke
dalam rimba itu.
Begitulah ceritanya kenapa gagak membuat bunyi, "akk,
akk" singkatan kepada "merak, merak". Ada yang mengatakan Sang
Gagak terus mencari Sang Merak hingga ke hari ini. Dan Sang Merak terus
menyembunyikan diri dari Sang Gagak walaupun dia selalu bermegah-megah dengan
kecantikannya.
No comments:
Post a Comment