Si Luncai telah dijatuhkan hukuman oleh raja supaya dibuang
ke tengah laut. Si Luncai dihukum kerana kesalahannya mempermain-mainkan raja
serta pembesar-pembesar baginda oleh itu dia menerima hukuman itu dengan
tenang.
Pesuruh raja pun bersiaplah membawa Si Luncai ke dalam
perahu untuk dibawa ke tengah laut kerana Si Luncai akan dibuang ke dalam laut
itu nanti. Si Luncai telah dimasukkan ke dalam sebuah guni dan dipikul ke
pangkalan.
Apabila sekaliannya telah siap, maka perahu itu pun
dikayuhlah ke tengah laut. Dari dalam guni itu Si Luncai dapat melihat beberapa
biji labu air terdapat di dalam perahu. Setelah lama mereka berkayuh, maka Si
Luncai berkata; “kasihan benar aku melihat kamu semua terlalu teruk berkayuh.
Mahukah kamu semua jika aku ajarkan lagu untuk menghilangkan penat kamu semua
itu?”
Salah seorang daripada mereka berkata; “Diamlah kamu,
sebentar lagi kamu akan dicampakkan ke dalam laut ini”. Mendengar kata-kata
yang sedemikian itu, maka Si Luncai pun menyanyilah. “Si Luncai terjun dengan
labu-labunya. Biarkan! Biarkan!”
Mendengar Si Luncai menyanyi itu, pesuruh raja itu mula
tertarik dan beberapa orang pekayuh mula menyanyi: “Si Luncai terjun dengan
labu-labunya!”
Maka beberapa orang yang lain pun menjawablah: “Biarkan!
Biarkan!” Akhirnya mereka menjadi dua kumpulan menyanyikan lagu itu.
“Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”
“Biarkan! Biarkan!”
Demikian lagu itu dinyanyikan berulang-ulang hingga lekalah
mereka semuanya.
Melihatkan keadaan itu, maka Si Luncai pun keluar dari guni
dan dia mengisikan beberapa biji labu ke dalam guni itu dan kemudian dia
mengambil dua biji labu yang lain lalu terjun dar perahu itu. Si Luncai
berenang ke tepian menggunakan pelampung labu air yang dua biji itu.
Apabila sampai ke tengah laut, pesuruh raja pun mencampakkan
guni itu ke dalam laut. Pada mereka, matilah Si Luncai dan merka pun baliklah
memberitahu raja akan hal itu. Tiada siapa yang tahu bahawa Si Luncai
sebenarnya telah berenang sampai ke pantai.
No comments:
Post a Comment