Nabi Sulaiman merupakan anak Nabi Daud. Sejak kecil lagi
baginda telah menunjukkan kecerdasan dan ketajaman fikirannya. Setelah
kewafatan ayahandanya, Nabi Sulaiman diangkat menjadi raja di kerajaan Bani
Israel.
Beliau berkuasa bukan hanya ke atas manusia, namun juga
haiwan dan jin. Baginda juga memiliki pelbagai keistimewaan, termasuk mampu
bercakap, memahami dan memberi arahan terhadap jin dan haiwan sehingga semua
makhluk itu mengikuti kehendaknya.
Istana Nabi Sulaiman sangat indah. Ia dibangunkan dengan
gotong-royong manusia, binatang dan jin. Dindingnya terbuat dari batu pualam,
tiang dan pintunya dari emas dan tembaga, atapnya dari perak, hiasan dan
ukirannya dari mutiara dan intan berlian, pasir di taman ditaburi mutiara, dan
sebagainya.
Suatu hari, burung hud-hud menceritakan tentang kerajaan
negeri Saba yang diperintah oleh Ratu Balqis dan mereka menyembah matahari.
Nabi Sulaiman mengutuskan surat mengandungi nasihat supaya menyembah Allah
kepada Ratu Balqis. Selepas dibaca surat itu, Ratu Balqis menghantarkan utusan
bersama hadiah kepada Nabi Sulaiman. Setelah tiba di Yaman, utusan itu
merasakan hadiah itu tidak ada apa-apa nilainya dibandingkan dengan kerajaan
Nabi Sulaiman yang besar. Nabi Sulaiman menyuruh utusan itu kembali kepada Ratu
Balqis.
Utusan itu kembali ke negeri Saba dan menceritakan
pengalaman yang dialami di Yaman kepada Ratu Balqis, sehingga dia berhajat
untuk berjumpa sendiri dengan Nabi Sulaiman. Keinginan Ratu Balqis itu
diketahui Nabi Sulaiman terlebih dulu dan beliau memerintahkan tenteranya,
terdiri daripada manusia, haiwan dan jin untuk membuat persiapan bagi menyambut
kedatangan Ratu Balqis. Nabi Sulaiman juga memerintahkan pasukannya supaya
membawa singgahsana Ratu Balqis ke istananya.
Nabi Sulaiman berjaya menyedarkan Ratu Balqis lalu berkahwin
dengan dengannya dan dari perkahwinannya itu lahirlah seorang putera.
Pada suatu hari Nabi Sulaiman memasuki mihrabnya untuk
i'tikaf, ibadah, dan solat. Nabi Sulaiman wafat dan baginda bersandar kepada
tongkatnya. Jin melihatnya dan mengira bahawa beliau sedang solat sehingga
mereka pun terus melanjutkan pekerjaannya.
Berlalulah hari-hari yang panjang. Para Jin yang sedang
mengerjakan bangunan atas perintahnya tidak mengetahui bahawa Nabi Sulaiman
telah wafat kecuali setelah mereka melihat Nabi Sulaiman tersungkur jatuh di
atas lantai, akibat jatuhnya tongkat sandarannya yang dimakan oleh anai-anai.
No comments:
Post a Comment