Monday, October 19, 2015


Semuanya Kudrat dan Iradat Allah SWT



Bismillahirrahmaniraahim..
Abu Hurairah r.a berkata bahawasanya Nabi s.a.w telah bersabda: Allah telah berfirman yang bermaksud :
“Lapangkanlah dirimu untuk beribadat kepadaKu, nescayalah Aku penuhi dadamu kekayaan dan mengatasi segala kemiskinanmu. Jika engkau tidak buat, maka akan Allah penuhi dadamu dengan urusan dan tidaklah Aku tutupi kemiskinanmu.” (Riwayat Termidzi & Baihaqi)


Hadis Qudsi ini mengingatkan kita bahawa yang menjadikan manusia kaya atau miskin adalah Allah SWT. Dialah yang mentakdirkan semua itu dengan kudrat dan iradatNya. Sudah menjadi tabiat semulajadi manusia hendak hidup dalam keadaan senang lenang dan memiliki kekayaan yang banyak. Dan manusia membenci kehidupan yang miskin,susah dan melarat. Akan tetapi kekayaan yang hakiki di sisi Allah ialah dengan memperbanyakkan amalan yang solih sebab rezeki manusia itu memang telah ditetapkan oleh Allah begitu juga tentang miskinnya, kayanya dan sebagainya.


Oleh itu janganlah kita sampai terus-menerus bertungkus-lumus dalam urusan dunia yang sementara ini sehingga tidak ada masa untuk beribadat atau beramal solih. Itu adalah suatu kesilapan yang besar. Kita harus sentiasa melapangkan masa untuk beribadat menyembah Allah, bertungkus lumus untuknya dan bersyukur kepadaNya. Kita akan merasakan kekayaan yang hakiki dan kita akan diisayangi oleh Allah. Kerperluan kehidupan serta urusan dunia kita akan diberiNya dengan secukup-cukupnya dan kita tidak perlu dibimbang.


Akan tetapi jika kita terus mengejar urusan dunia saja sedang ibadah kepada Allah kita terus menlalaikan dan membelakangi nescaya Allah akan menambahkan kepada kita dengan berbagai-bagai urusan dunia yang baru. Ada-ada saja yang timbul tanpa kita sedari atau diduga. Hidup kita terus-menerus begitu saja sama sahaja tiada ada perubahannya sentiasa susah, sentiasa sempit, senantiasa serba kekurangan. Kekayaan yang kita angan-angankan tidak akan datang juga. Maka kita akan rugi di dunia dan akhirat. Kerugian di dunia dapat ditanggung. 
Manakala kerugian di akhirat yang kekal abadi tiada akhirnya.



Oleh itu berapa banyak sekalipun urusan kita dengan dunia namun jangan sekali-kali urusan akhirat kita lalaikan atau membelakangkannya. Sepatutnya kita selalu melebihkan dan mengutamakan urusan akhirat daripada dunia. Ataupun sekurang-kurangnya hendaklah kita mencari keuntungan akhirat sekadar kita mencari keuntungan dunia.
Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup buat selama-lamanya dan berusahalah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esoknya.

No comments:

Post a Comment